Perkara itu dimuktamadkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif sewaktu menolak permohonan beliau untuk mendapat kebenaran merayu. 

Hakim Raus yang bersidang bersama Tan Sri Zainun Ali dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi turut memerintahkan Mohamad atau Mat Sabu membayar kos RM10,000.

Oleh yang demikian, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman itu dan Mahkamah Rayuan yang mengesahkannya, dikekalkan. 

Mahkamah Tinggi berpuas hati, ketiga-tiga artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 dan 28 Ogos 2011 berhubung ucapan Mat Sabu yang ketika itu Timbalan Presiden Pas tentang sera­ngan Bukit Kepong dan pejuang kemerdekaan, tidak berunsur fitnah.

Mahkamah berpendapat, kecaman yang dihadapi plaintif berpunca daripada ucapannya sendiri dan pihak defendan berjaya dengan pembelaan justifikasi komen berpatutan serta perlindu­ngan bersyarat.

Mat Sabu, 64, memfailkan saman itu pada 21 Disember 2011 kerana mendakwa defendan menyiarkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung serangan komunis di Ba­lai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Ketiga-tiga artikel itu dikeluarkan selepas Mat Sabu menyampaikan ceramah di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Manora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Artikel itu membabitkan laporan muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk ‘Mohamad Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong ‘ dan dua artikel lagi pada keesokannya bertajuk ‘Mat Sabu dikecam’ dan ‘Kenyataan Mat Sabu dibidas’. - UTUSAN ONLINE