Tertuduh, Mohammad Imran Ismail, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan selesai dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki tersebut didakwa mencuri dompet milik Nur Fazlina Mashadi, 29, yang berisi kad Maybank dan Public Bank serta wang tunai sebanyak RM300 di tempat letak motosikal, Taman Jaya di sini antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, 3 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim mengemukakan pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun serta denda.

Berdasarkan fakta kes, lelaki tersebut pada tarikh dan waktu yang sama telah mencuri dompet milik wanita tersebut yang letakkan di bawah tempat duduk motosikal milik mangsa. Tertuduh kemudiannya telah ditahan oleh pasukan khas dari Balai Polis Seapark di Taman Bandaran pada tarikh sama.

Mohammad Imran yang diwakili Datuk Suraj Singh memohon kepada pihak mahkamah agar hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya namun pendakwaan membantah dan memohon agar satu bentuk hukuman pengajaran dikenakan terhadap tertuduh agar tidak melakukan jenayah tersebut.

Nor Ariffin kemudiannya menjatuhkan hukuman RM2,000 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal lelaki tersebut akan dipenjara tiga bulan. - UTUSAN ONLINE