Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof ketika mencapai keputusan sebulat suara itu turut memerintahkan perayu membayar kos RM10,000.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 September tahun lalu yang memerintahkan MAS menyediakan dokumen umum kepada waris-waris warganegara asing tersebut untuk digunakan dalam kes saman itu, kekal.

Semua 76 plaintif terdiri daripada 66 orang warganegara China, lapan dari India dan dua rakyat Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman berkenaan ekoran kehilangan ahli keluarga mereka yang menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Mereka menamakan MAS, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan. - UTUSAN ONLINE