Malaysiakini dibenar merayu
 

Kebenaran itu diberikan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Tan Sri Zainun Ali yang bersidang bersama Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Aziah Ali.

Kuorum berkenaan membenarkan penerbit portal berita, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. itu mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada satu tarikh lain.

Malaysiakini merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Januari lalu yang memerintahkannya membayar ganti rugi dan kos RM150,000 selepas membenarkan rayuan syarikat perlombongan emas itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman RAGM serta membenarkan permohonan injunksi menghalang portal berkenaan menerbitkan tiga artikel dan dua video berunsur fitnah.

Portal berkenaan disaman berikutan laporan yang diterbitkan­nya berhubung dakwaan penduduk Bukit Koman bahawa penggunaan bahan kimia mengandungi sianida bagi aktiviti perlombongan emas di kawasan itu telah menjejaskan kesihatan mereka. - UTUSAN ONLINE