Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk menamakan mana-mana individu sebagai Peguam Negara.

“Artikel 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik mana-mana individu yang layak menjadi hakim di Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

“Majlis Peguam tiada lokus untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai Peguam Negara, adalah lebih baik untuk Majlis Peguam menyenaraikan ciri-ciri individu yang layak dilantik tanpa menamakan mana-mana individu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar hari ini mengesahkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta.

Tugasnya akan diambil alih oleh peguam cara negara buat masa ini. - UTUSAN ONLINE