Hakim Syarie, Mohamed Fouzi Mokhtar yang membuat keputusan itu bagaimanapun menyatakan, Shahnaz selaku pihak pemohon boleh memfailkan semula permohonan baharu.

Mohamed Fouzi menolak permohonan Shahnaz atas alasan tuntutan harta sepencarian itu tidak mengandungi beberapa butiran lengkap.

“Kes ini telah difailkan sejak tujuh tahun lalu namun sehingga hari ini permohonan ini tidak lengkap. Sebarang dakwaan yang dikemukakan perlu lengkap, jelas dan terperinci.

“Berdasarkan nas undang-undang, mahkamah ini boleh membatalkan tuntutan ini dengan kebebasan untuk memfailkannya semula,” katanya.

Peguam-peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Dr. Mohd. Rafie Mohd. Shafie yang mewakili Shahnaz memberitahu pemberita sejurus selepas prosiding, pihaknya akan memfailkan permohonan baharu.

Menurut Mohd. Rafie, pihaknya tidak dapat mengemukakan semua butiran dalam permohonan tersebut kerana akan menyebabkan permohonan terlalu tebal sebaliknya akan mengemukakan bukti-bukti berkaitan semasa perbicaraan.

Sementara itu, Akberdin memberitahu pemberita, permohonan baharu itu melibatkan isu interpretasi sama ada butir-butir tuntutan lengkap atau tidak.

“Apapun pihak kami akan memfailkan semula dalam minggu ini kerana perbicaraan tuntutan harta sepencarian belum bermula lagi. Pihak defendan (Mahmud Abu Bekir) juga belum memfailkan pernyataan pembelaan,” ujar Akberdin.

Pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan Syariah di sini mengekalkan perintah supaya anak Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud itu membayar mutaah berjumlah RM30 juta kepada bekas isterinya itu yang juga kakak kepada penyanyi popular, Datuk Sheila Majid.

Pasangan itu bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai pada 11 Mei 2011 dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud yang kini berusia 23 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat milik bapanya. - UTUSAN ONLINE