Hakim Syarie, Salehan Yatim membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan dan afidavit yang dibuat oleh Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, 41, yang difailkan pada 17 April lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan alasan-alasan keputusan itu dan mengarahkan Gavin memfailkan semula permohonan sama di mahkamah terbabit.

Dalam pada itu, peguam Gavin, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya menerima keputusan berkenaan dan akan meneliti alasan penolakan permohonan itu.

“Saya belum mengetahui alasan-alasan itu tetapi saya akan membuat permohonan semula mengenainya,” katanya.

Tindakan Serina Redzuawan yang didakwa membenarkan anak-anaknya bermalam dengan bapanya yang juga tukang masak terkenal, Chef Wan menyebabkan Gavin membuat permohonan itu.

Gavin selaku pihak pemohon melalui peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah memohon kebenaran secara ex-parte (sebe­lah pihak) agar satu notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap wanita terbabit berdasarkan peruntukkan Seksyen 151 (1)(a)(aa) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 atas perbuatan bekas isterinya itu. - UTUSAN ONLINE