Perintah penggantungan tersebut dikeluarkan ekoran dakwaan terdapat masalah yang serius dalam barisan kepemimpinan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan pihak pengurusan diserahkan kepada ahli jemaah pengarah Nafas melalui Pengerusinya pada 1 Jun lalu.


Namun begitu, Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam keputusannya berpendapat, Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua tidak melakukan sebarang kesalahan ketika mengeluarkan perintah penggantungan perlembagaan Nafas.


Mahkamah memerintahkan supaya permohonan semakan kehakiman tiga Ahli Jemaah Pengarah itu yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla ditolak dengan kos RM10,000.


Pada 6 Julai lalu, ketiga-tiga pemohon memfailkan permohonan tersebut disebabkan satu perintah penggantungan perlembagaan Nafas telah dikeluarkan oleh PP pada 28 Mei lalu.


Pihak lembaga Pertubuhan Peladang telah menjalankan pengauditan khas terhadap Nafas selama dua minggu bermula 26 Mac lalu dan hasil pengauditan itu, responden pertama serta-merta memutuskan menggantung perlembagaan Nafas dan mengeluarkan suatu notis perintah penggantungan bertarikh 28 Mei lalu menurut Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.


Perintah penggantungan dikeluarkan disebabkan responden pertama berpendapat kononnya terdapat masalah yang serius dalam barisan kepimpinan Ahli Jemaah Pengarah Nafas.


Lanjutan daripada perintah penggantungan itu, pihak Ahli Jemaah Pengarah Nafas melalui surat bertarikh 7 Jun lalu telah mengemukakan rayuan kepada responden kedua berhubung perintah penggantungan tersebut untuk membatalkan perintah berkenaan.


Namun disebabkan pihak Ahli Jemaah Pengarah Nafas selaku pihak pemohon tidak menerima maklum balas atau keputusan rayuan melebihi tempoh sebulan, pemohon pada 6 Julai lalu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.


Pihak pemohon antaranya memohon mendapatkan perisytiharan bahawa tindakan responden kedua menolak rayuan mereka terhadap perintah penggantungan perlembagaan Nafas  bertarikh 7 Jun lalu oleh PP dengan cara tidak membalas atau memberikan respons terhadap rayuan tersebut pada atau sebelum 21 Jun atau selewat-lewatnya pada atau sebelum 6 Julai lalu adalah tidak menurut undang-undang dan bercanggah dengan kewajipan statutori menteri tersebut.


Pihak pemohon yang menamakan kerajaan sebagai responden ketiga turut menuntut perintah certiorari bagi membatalkan perintah penggantungan tersebut selain secara alternatifnya memohon perintah mandamus supaya menteri berkenaan membalas dan memberikan keputusan rayuan tersebut dalam tempoh 14 hari. -UTUSAN ONLINE