Hakim Hasbullah Adam menetapkan tarikh berkenaan bagi pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan status dokumen yang akan diserahkan kepada pembelaan kelak.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir memaklumkan bahawa hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen bagaimanapun buat masa ini pihak pendakwaan menghadapi masalah untuk mendapatkan dokumen asal.

Ini kerana, menurutnya, kebanyakan dokumen berada di luar negara dan pihaknya telah membuat permohonan di bawah Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk United Kingdom (UK) Singapura dan Hong Kong memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan.

“Sehingga kini, terdapat satu firma pelaburan di Singapura yang terbabit dalam kes ini bersetuju kerjasama termasuk memberikan dokumen berkaitan bagaimanapun ia hanya boleh diserahkan bulan depan. Sehubungan itu, saya memohon tempoh tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng Chong Hwa, 47, bagaimanapun membantah tempoh tersebut dengan alasan ia terlalu lama apatah lagi tempoh ekstradisi anak guamnya akan berakhir pada 15 Mei ini.

“Pihak pendakwaan menyatakan mereka perlu mendapatkan dokumen dari luar negara tetapi sekurang-kurangnya ada beberapa dokumen sepatutnya sudah diserahkan. Tetapi sehingga kini tiada apa-apa langsung diserahkan kepada pembelaan,” katanya.

Pada 19 Disember tahun lalu, Roger Ng, 47, mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan iaitu meninggalkan daripada menyatakan fakta material dan membuat pernyataan tidak benar dalam Memorandum Penempatan Tertutup dan tiga Pekeliling Tawaran bertarikh antara Mei 2012 dan Mac 2013.

Antara kenyataan yang ditinggalkan adalah Low Taek Jho adalah pengendali dan perantara utama 1MDB iaitu syarikat induk 1MDB Energy Limited.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat 1MDB, paras 8, Menara IMC, Nombor 8, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2008 dibaca bersama Seksyen 179(c) akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda. - UTUSAN ONLINE