Mereka terdiri daripada Ng Poh Weng, 67, Marcus Yee Yuen Seng, 65, Chin Wai Leong, 41, dan Liew Chee Wah, 63.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara mendapati mereka bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya.

Kuorum berkenaan bagaimanapun membenarkan permohonan barisan pembelaan agar penghujahan berhubung hukuman ditangguhkan sehingga 4 Januari depan.

Panel itu membenarkan setiap responden dibebaskan dengan jaminan RM1 juta dalam bentuk hartanah atau wang dengan dua penjamin masing-masing manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Pada 20 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi ketika melepas dan membebaskan keempat-empatnya, turut mengarahkan harta yang disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dikembalikan kepada kesemua responden berkuat kuasa serta merta.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di ibu negara di antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Kesemuanya juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di ibu negara di antara November 2008 dan Julai 2009. - UTUSAN ONLINE