Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan isterinya, Samirah Muzaffar untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggalian kubur yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki menetapkan demikian selepas menolak permohonan Samirah bagi mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memperbetulkan perintah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur  Allahyarham Nazrin.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membuat pembetulan terhadap peruntukan yang diguna pakai dalam perintah mahkamah majistret itu iaitu dari Seksyen 339 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) kepada Seksyen 329 (3) Kanun sama.

Beliau berpendapat, majistret tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 339 (3) KPJ kerana seksyen itu melibatkan permohonan untuk inkues, sedangkan kes ini masih di peringkat siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan sebelum ini berkata bedah siasat kedua ke atas jenazah Nazrin dilakukan susulan terdapat anggota keluarga tidak berpuas hati atas laporan sebelum ini.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.

Kematiannya kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran. - UTUSAN ONLINE