Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman dikemukakan MyCC untuk mencabar keputusan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) yang mengetepikan bayaran penalti dikenakan terhadap kedua-dua syarikat tersebut.

Hakim Nordin turut mengarahkan MAS (kini dikenali sebagai MAB) dan AirAsia membayar kos sebanyak RM10,000 kepada MyCC selaku pihak pemohon.

Pada 25 Julai 2016, MyCC dibenarkan untuk mencabar keputusan CAT pada 4 Februari tahun sama yang mengetepikan penalti RM10 juta terhadap MAS dan AirAsia.

MyCC pada 11 April 2014, mendapati MAS dan AirAsia melanggar larangan perkongsian pasaran mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 dengan memeterai perjanjian, menyaksikan kedua-dua syarikat berkongsi sektor perkhidmatan pengangkutan udara dalam negara.

Denda RM10 juta MyCC itu berdasarkan jumlah penerbangan dilakukan MAB dan AirAsia bagi empat laluan dalam negara bagi tempoh empat bulan iaitu antara 1 Januari dan 30 April, 2012.

Laluan itu ialah Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Sandakan dan Kuala Lumpur-Sibu. - UTUSAN ONLINE