Hakim Azman Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd. Hafarizam ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Terdahulu, Hasnal Rezua memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk menukar penjamin ekoran penjamin terdahulu iaitu Aisha Mubarak bukan lagi rakan kongsi firma anak guamnya.

“Sehubungan itu, untuk mewujudkan hubungan (nexus), kami memohon

Aisha digantikan kepada penjamin baharu iaitu Noor Arlisma Zainul Ariff," katanya.

Mahkamah turut mengekalkan jumlah jaminan dan syarat tambahan yang ditetapkan sebelum ini.

Pada 21 Februari lalu, Mohd. Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam “client account” firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd. Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam “Client Account” firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta. - UTUSAN ONLINE.