Bagaimanapun, Majistret Nor Arifin Hisham memerintahkan wang jaminan terhadapnya dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.


Terdahulu, peguam yang mewakili Farid Kamil, Megat Syazlee Mokhtarom memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas suami kepada pelakon Diana Danielle itu berikutan kegagalannya hadir pada prosiding Jumaat lalu.


Megat Syazlee menjelaskan, anak guamnya gagal hadir kerana berada di Johor Bahru dan telah cuba bergegas pulang ke ibu negara selepas diingatkan mengenai tarikh prosiding pada malam sebelumnya.


“Dalam perjalanan, kereta anak guam saya rosak pada pukul 4 pagi di Danga Bay dan dia terkandas di lokasi sebelum menunggu kenderaannya ditunda ke Tampoi untuk diperbaiki. 


“Anak guam saya tidak dapat memaklumkan perkara itu kerana telefon bimbitnya telah kehabisan bateri,” katanya yang turut menyertakan resit pembayaran tunda kereta dan gambar sebagai bukti.


Farid Kamil yang hadir ke mahkamah dengan ditemani adiknya, Fadzil Zahari dan bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan turut memohon maaf kepada mahkamah atas kesilapannya tidak menghadiri prosiding mahkamah dan menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah.


Pada prosiding Jumaat lalu, pelakon itu gagal hadir untuk perbicaraan membabitkan kes dadah yang dihadapinya kerana sedang mempunyai urusan di Johor Bahru, Johor dan mengakibatkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas pelakon itu.-UTUSAN ONLINE