SYARUL RENA ABU SAMAH

Perkara itu ditentukan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi menolak permohonan perunding bangunan itu untuk menangguhkan perbicaraan sehingga rayuan bagi merujuk persoalan perlembagaan, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmadi yang bersidang bersama Datuk Kama­rdin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berpuas hati perbicaraan harus dimulakan selepas kuorum itu tidak bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh peguam bela yang mewakilinya.

Sehubungan itu, kes akan disebut di Mahkamah Sesyen Sepang, dekat sini pada 26 April ini. Perbicaraan terhadapnya belum dimulakan ekoran pelbagai permohonan yang dikemukakan sebelum ini.

Pada 18 Februari 2016, Syarul Ema Rena, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghantar komen bersifat menghina Perdana Menteri menerusi laman sosial, Facebook pada pukul 12.02 malam, 6 Oktober 2015.

Tertuduh yang menggunakan nama samaran ‘Ratu Naga’ di laman sosial Facebooknya didakwa menghantar komen yang jelik dan menghina Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bertujuan menyakitkan hati pihak lain.

Komen itu telah dibaca pada pukul 10 pagi, 28 Januari 2016 di alamat Tingkat 8, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tower 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama iaitu denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Sebelum itu, peguam Latheefa Koya yang mewakilinya berhujah, pihaknya sudah memfailkan rayuan untuk merujuk isu-isu perlembagaan yang belum pernah diputuskan dan jika rayuan dibenarkan, perbicaraan menjadi tidak bermakna untuk diteruskan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria berhujah kes itu sudah ditangguhkan berkali-kali sejak Syarul Ema Rena didakwa pada 2016 ekoran pelbagai permohonan yang dikemukakan berkaitan kesahan tuduhan yang dihadapinya.

Hujah beliau, tiada keadaan istimewa yang membolehkan perbicaraan diteruskan dan jika ditangguhkan lagi, dikhua­tiri akan menjejaskan kes pendakwaan.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Syarul Ema Rena untuk menangguhkan prosi­ding dan menetapkan perbicaraan terhadapnya dimulakan di Mahkamah Sesyen Sepang.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan tertuduh untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan keperlembagaan Seksyen 233(1) yang dihujahkan melanggar Perkara 8 dan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.