Arahan penyelesaian di luar mahkamah itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis selepas tuntutan itu difailkan oleh peguam LHDN, Nor Hidayah Mohd. Anas di dalam kamar hakim.

Hasmiza, 47, atau lebih dikenali Dr. Vida bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Zailan Mohamed.

Dalam penyataan tuntutan LHDN itu, Datuk Dr. Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.

Nor Hidayah ketika ditemui di luar mahkamah berkata, LHDN telah mengadakan perbincangan dengan Dr. Vida namun beliau gagal mematuhi perbincangan berkenaan menyebabkan tuntutan tersebut dijalankan di mahkamah.

Menurutnya, kes tuntutan itu akan diteruskan pada 21 Mei ini sekiranya pihak Dr. Vida gagal mengadakan perbincangan dan menyelesaikan tuntutan cukai pendapatan individu itu dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Zailan berkata, perbincangan akan diadakan dengan LHDN bagi mengadakan pengstrukturan semula bayaran tuntutan berkenaan dan akan menyelesaikan tuntutan itu dalam tempoh ditetapkan. - UTUSAN ONLINE