Kevin Morais
Kevin Morais

R. Dinishwaran, 26, yang merupakan tertuduh ke­tiga dalam kes tersebut memberitahu, ter­tuduh kelima, M. Vishwanath, 28, menghu­bunginya dan me­nyatakan hasrat untuk membeli kereta.

Dia kemudian meng­hubungi tertuduh yang bekerja sebagai pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 47, yang dikenalinya kira-kira enam bulan untuk bertanyakan jika ada kereta yang hendak dijual.

“Pada 3 September 2015, Vishwanath datang ke rumah saudara saya di Serdang bersama rakannya, S. Nimalan, 25, untuk menguruskan pembelian kereta tersebut.

“Saya beritahu mereka yang saya ingin berjumpa dengan Ravi Chandaran yang dipanggil Selvam dan mereka mengajak saya ke sebuah restoran untuk bertemu dengannya,” kata saksi itu ketika pemeriksaan utama oleh peguam R. Rajehgopal yang mewakilinya dalam perbicaraan hari kedua peringkat bela diri di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, setibanya mereka bertiga di restoran, Ravi Chandaran sudah berada di situ bersama dua lagi lelaki iaitu G. Gunasekaran, 49, yang dikenali sebagai Jay dan A.K. Thinesh Kumar, 25.

“Saya hanya mengenali Selvam dan Vishwanath manakala tiga lelaki lain iaitu Nimalan, Gunasekaran dan Thinesh hanya dikenali pada pertemuan tersebut (3 September),” katanya.

Sepanjang hari berkenaan, menurut Dinishwaran, mereka bersama-sama menonton wa­yang, makan, bermain snuker serta minum minuman keras sehingga pukul 5 pagi, 4 September 2015.

Pada prosiding tersebut, Dinishwaran turut mengecam Thinesh, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran sebagai tertuduh keempat hingga ketujuh, namun Gunasekaran yang dahulunya tertuduh kedua dalam kes tersebut telah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan alternatif menyembunyikan mayat dan menghapuskan kereta Proton Perdana milik mangsa dan dihukum penjara dua tahun.

Kelima-lima tertuduh itu didakwa bersama-sama pakar patologi tentera, Dr. R. Kunaseegaran, 55, membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Tertuduh-tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 22 Februari ini.