Shafii Ismail, 44, Norazuan Shafie, 41, Noryasmi Yahya, 45, Hasril Hassan, 43, Hamsah Selamat, 59, Norhayati Mohd. Nor, 46, Zulfieka Fareez Hamsah, 28, Nur Jumaaton Baharuddin, 27, Norsyahira Fazira Hamsah, 23, dan Nurulhaslinda Mohamed Sabudin, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah bagi ke­se­mua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mereka terdiri daripada seorang posmen, penjaga stor, ti­ga daripadanya merupakan suri rumah, tiga pula bekerja sendiri manakala dua lagi tidak bekerja. Hamsah dan Norhayati merupakan ibu bapa kepada Norsyahira Fazira dan Zulfieka Fareez bersama isterinya, Nur Jumaaton.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menerima wang berjumlah RM11,456,618 daripada aktiviti pengubahan wang haram dalam akaun ma­sing-masing.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Kajang Prima, Kajang; Maybank Jalan Tukang, Kajang; RHB Bank Taman Taming Jaya, Balakong; dan Maybank Bandar Baru Bangi di antara Oktober 2014 dan Januari 2015.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan se­tiap tertuduh diikat jamin antara RM2,000 dan RM800,000 berserta seorang penjamin dengan ke­seluruhannya berjumlah RM1.14 juta dan menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idamasliza Maarof manakala kesemua tertuduh masing-ma­sing diwakili barisan peguam, Mohd. Faizi Che Abu, Ling Yee Siew, R. Jaswin dan Datuk C. Vignesh Kumar.

Lapan tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan itu manakala Noryasmi dan Hasril gagal melunaskannya.