K. Ganesh Kumar, 18, K. Nanrik Kumar Devit, 22, Lennox, 23, M. Clemend Raj, 27, dan A. Saravanan, 33, didakwa me­lakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kopitiam di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 12.10 tengah malam, 1 April lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh-tertuduh didakwa secara bersama-sama cuba membunuh Choo Tian En, 42, dengan me­langgar kereta Proton Iswara Aeroback milik mang­sa hingga menyebabkan mangsa patah kaki kiri dan mungkin menyebabkan kematian.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mengikut Sek­syen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, ha­nya Clemend Raj diwakili peguam, James Thanjong Tuan manakala empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Norma Ismail membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mereka diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa selain menetapkan 15 Mei ini sebutan semula kes.