Pada 20 Februari lalu, seramai 22 ahli kumpulan itu termasuk seorang bergelar Datuk Seri didakwa atas pertuduhan sama.

Pada prosiding hari ini, Datuk Koh Thiam Hua, 38, Chan Yi Heng, 22, dan Harry Tan Cheng Yu, 31, didakwa di hadapan Hakim Irwan Suaibon atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’ di sekitar daerah Timur Laut di sini antara 1 Januari 2015 dan 6 Mei lalu.

Lim Boon Hooi, 40, dan Toh Kae Luen, 26, pula didakwa atas tuduhan sama di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Kesemua tertuduh meng­angguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin namun tiada pengakuan direkodkan daripada setiap tertuduh.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes berkenaan termasuk di bawah Akta Kesalahan Kese­lamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula sebelum kes tersebut dipindahkan ke ibu negara.

Kae Luen diwakili peguam Muhamad Abd. Hamid; Thiam Hua diwakili Mohd. Zulfiqri Zakaria dan V.S. Reveentharan mewakili Yi Heng manakala dua yang lain tidak diwakili peguam.