Empat daripada mereka iaitu, Amir Azlan Zainuddin, 48, dan isteri, Nazhatulshima Sahak, 44, Muhammad Fadhil Ibrahim serta Muhammad Nai`eem Apandi, kedua-duanya berusia 24 tahun, menghadapi tuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara pekerja kedai kek, Mohammad Na’im Abd. Rashid, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan memberi sokongan dengan berada di Syria untuk manfaat kumpulan tersebut.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh.

Kesemua mereka juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang melarang jaminan diberikan.

Di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin, Nazhatulshima yang merupakan pengusaha taska didakwa bersama-sama Muhammad Fadhil cuba memberi sokongan kepada pengganas IS dengan cara membeli tiket penerbangan pesawat Emirates bagi perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Istanbul, Turki.

Mereka didakwa hendak memasuki Syria melalui Istanbul bagi mendatangkan manfaat kepada kumpulan pengganas itu.

Di hadapan Majistret Ellyana Razali pula, Amir Azlan yang membantu isterinya mengusahakan taska di­dakwa bersama-sama Muhammad Nai`eem melakukan kesalahan tersebut.

Pasangan suami isteri itu bersama-sama Muhammad Fadhil dan Muhammad Nai`eem, kedua-duanya bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10.50 malam, 13 Oktober lalu di Restoran Hakim Sdn. Bhd., Jalan Zirkon E7/E, Seksyen 7 di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum tidak melebihi setengah dari tempoh yang paling lama diperuntukkan oleh Seksyen 130J iaitu penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan harta mereka boleh dirampas sekiranya diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kedua-dua majistret menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan bagi permohonan pihak pendakwaan memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes-kes serupa.

Di Mahkamah Sesyen Sepang, Mohammad Na’im didakwa memberi sokongan untuk manfaat kumpulan militan tersebut dengan memasuki Syria melalui Istanbul menggunakan penerbangan antarabangsa Qatar Airways.

Dia yang turut menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan didakwa melakukan perbuatan itu di antara 28 Disember tahun lalu dan 7 April lalu di Kaun­ter Imigresen Balai Pelepasan An­ta­rabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Mohammad Na’im yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang ditahan oleh anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejurus sebelum meninggalkan negara ini.

Tertuduh yang telah berkahwin itu pernah berada di Syria untuk tempoh tertentu dan ditahan ketika cuba berlepas ke negara tersebut untuk kali kedua.

Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim menetapkan sebutan kes pada 15 Disember ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon tempoh sebulan bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini sebanyak 21 orang telah dituduh sejak tangkapan pertama pada Februari tahun lalu dibuat ke atas anggota-anggota yang bertanggungjawab merekrut rakyat negara ini untuk berjihad di Syaria.

Daripada jumlah itu, menurut beliau, sebanyak 19 orang didakwa mengikut kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Kanun Keseksaan manakala baki dua orang lagi didakwa di bawah Akta Senjatapi.