Permohonan itu dikemukakan melalui surat daripada firma guaman Tetuan Ngeow & Tan yang mewakili dua anak lelaki bersama datuk dan nenek mereka yang merupakan ibu bapa kepada Tan Ah Meng serta isterinya, Chuang Hsiu [email protected] Chuang dan seorang warga Taiwan, Chuang Hung Chien.

Pasangan berkenaan berada bersama anak sulung mereka Tan Wei Chew dalam pesawat MH370 penerbangan ke Beijing yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac 2014.

Surat tersebut menurut peguam Sangeet Kaur Deo diserahkan pihaknya kepada Anthony pada pukul 1.45 petang tadi.

Pihak keluarga menyatakan, sebelum ini mereka telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk penzahiran dokumen (discovery) terhadap Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia Airlines (MAS) dan kerajaan.

Sebahagian dokumen yang dimohon, menurut surat itu telah diserahkan namun menurut afidavit yang diikrarkan bagi pihak Ketua Pengarah DCA, beberapa dokumen yang amat material tidak dapat dikemukakan atas alasan telah diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat di bawah OSA.

Misalnya rakaman atau transkripsi komunikasi dengan MH370, surat perjanjian (LOA) pasukan mencari dan menyelamat (SAR) (Singapura, Thailand dan Indonesia), minit mesyuarat yang diadakan dengan agensi-agensi yang berkenaan, memo dalaman dan laporan SAR MH370.

Walhal pihak keluarga menyatakan, dokumen tersebut adalah mustahak bagi mengetahui pendedahan penuh dari semua aspek berhubung kehilangan pesawat tersebut dan sekiranya pihak yang berkenaan tidak dapat berbuat demikian, mereka menuntut supaya memberikan alasan mengapa dokumen masih disekat.

Pihak keluarga sehubungan itu memohon supaya Anthony mengeluarkan dokumen tersebut daripada sekatan OSA secepat mungkin memandangkan permohonan itu akan didengar di mahkamah pada 3 Ogos ini.