Muhamad Ikhwan Khai­­ri, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mahkamah bagaimanapun tidak merekodkan pengakuan tertuduh sebaliknya membenarkan permohonan peguam, Mohd. Hazrin Alif Wahab yang mewakili Muhamad Ikhwan agar lelaki itu menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Muhamad Ikhwan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Sohaimi, 48, di bahagian belakang kepala­nya menggunakan pisau sehingga menyebabkan putus satu saraf oksipital di sebuah rumah di Jalan Desa Moccis 3, Sungai Pelong dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam, 27 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Muhamad Ikhwan juga mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan terhadap biras Sohaimi, Mohd. Zulkifli Zainal, 38, di bahagian kepala dan pipi kiri menggunakan pisau di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut tidak merekodkan pengakuan tertuduh dan memerintahkannya dihantar ke Hospital Bahagia Tanjong Rambutan bagi tujuan sama selama sebulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Basri dan Amira Haziqah Zulkifli.