Lebih daripada itu, tertuduh, Noor Zaidi Long, 45, mendapat kelegaan berganda apabila turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis methamphetanine seberat 41.38 gram yang boleh menyebabkannya dipenjara dan disebat jika sabit kesalahan.


Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4 petang, 24 Jun 2014 di bilik bernombor 412, Dayang Bay Service Apartment Resort, Kuah, Langkawi.


Menerusi penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.


“Mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.


“Mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah gagal membuktikan dadah yang dijumpai di dalam peti keselamatan, berada dalam jagaan atau kawalan tertuduh,” katanya.


Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1983) yang membawa hukuman gantung sampai mati serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.


Tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.


Abu Bakar menambah, penemuan kad pekerja tertuduh dan alat suntikan dalam bilik itu belum mencukupi untuk membuktikan elemen pemilikan dadah tersebut kerana bilik berkenaan didaftarkan atas penama lain iaitu Nurul Adhani Abd. Razat.-UTUSAN