Abdullah Qayyum, 26, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama dan ke­dua, tertuduh didakwa memiliki pasport warga India dan Filipina yang dikeluarkan untuk milik orang lain di rumahnya di Jalan SG 8/9, Taman Seri Gombak, Batu Caves di sini dan di sebuah restoran makanan segera di kawasan sama antara pukul 7.30 malam dan 8.45 malam, 19 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga hingga ke-11, Abdullah didakwa memiliki satu cop pas khas Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu cop jata jabatan bahagian penguat kuasa Kuala Lumpur, satu cop khas lawatan sosial, Pejabat Imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, satu cop keluar Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), tiga pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan satu I-Kad atas nama Pinto Riza, yang didapati dipalsukan di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 dibaca bersama Seksyen 55D akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan penjara maksimum 10 tahun serta sebatan tidak lebih daripada enam kali.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Imigresen, Mohd. Khairul Amri Mohd. Zainuddin tidak mencadang­kan jaminan berikutan tertuduh merupakan warga asing namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan jumlah RM100,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan me­lapor diri kepada pegawai penyiasat imigresen setiap Khamis pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam, Nurul Ikrimah Mohd. Raya yang mewakili Abdullah pula memohon jaminan dibenarkan dengan jumlah minimum atas alasan isteri kedua anak guamnya sedang sarat mengandung di Filipina manakala isteri pertama tertuduh pula berada di Pakistan.

Wan Mohd. Norisham kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri seminggu sekali kepada pegawai penyiasat imigresen dan pasport diserahkan ke mahkamah selain menetapkan sebutan kes pada 8 Mei ini.

Pada 20 Februari lalu, media melaporkan Jabatan Imigresen telah menahan seorang lelaki warga Pakistan yang terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen dengan menyasarkan warga asing yang tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.