Mohd. Fitri Osman, 26, mengaku bersalah atas tuduhan cuai menembak rakannya sehingga maut selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fitri didakwa dengan sangat cuai melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah sehingga menyebabkan kematian Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, di kawasan hutan Sungai Tera, Lebuhraya Gerik-Kupang dekat sini pada pukul 10.30 malam 18 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakannya, Muhammad Azaili Alias, 31, turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki senapang patah dan 19 peluru hidup yang menyalahi undang-undang di tempat sama antara pukul 7.30 malam hingga 10.30 malam 18 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menangguhkan keputusan terhadap kedua-dua tertuduh sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA) dan perubatan.

Mahkamah menetapkan 2 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE