Pertuduhan terhadap Mohd. Yusnaidi Mohd. Yunus, 34, dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.


Ini kerana tertuduh yang dipercayai memiliki rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban gagal memberi jawapan tepat sama ada mengaku salah atas pertuduhan dikenakan ke atasnya.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Yusnaidi telah menakutkan secara sembunyi nama dengan membuat panggilan terhadap Nor Zuzaini Jamaluddin, 38, di Hospital Tampin pada kira-kira pukul 5.50 pagi, 14 Disember 2018. 


Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi mengetahui status kesihatan lelaki itu yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Tarikh untuk sebutan laporan perubatan lelaki itu ditetapkan pada 24 Januari tahun depan. - UTUSAN ONLINE