Perintah reman di bawah Seksyen117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek berusia 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Salwa Ja’afar di Mahkamah Majistret di sini.

Suspek dibawa ke mahkamah pada pukul 11.05 pagi dengan diiringi anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Lelaki yang diberkas semalam itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kanthan Baru dekat Chemor semalam, mayat, You Su Kim, 74, ditemukan di dua lokasi berasingan dengan kepala, kedua belah kaki dan tangan ditanam manakala bahagian badan pula dibuang dalam lubang pembentungan.

Perbuatan tersebut dipercayai dilakukan anak lelakinya sekitar tengah malam semalam sebelum suspek cuba melupuskan mayat bapanya itu dengan cara menanam dan membuang di belakang rumah.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian juga menjumpai kesan darah di dalam salah sebuah bilik selain menemukan sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.-UTUSAN ONLINE