Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas Jonathan Sihotang, di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, Jonathan didakwa membunuh seorang wanita, Sia Seok Nee, 44, di kilang Toto Food Trading No. 4897, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini kira-kira pukul 4 petang pada 19 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Kalaiarasi iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada lelaki, Yong Wei Keong, 14, dan Sia Yung Jern, 17.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Ooi Pen Lin, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman.

Dalam pada itu, tiada ikat jamin dibenarkan terhadap tertuduh dan mahkamah juga menetapkan 1 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh juga dihantar ke Penjara Pulau Pinang, Georgetown dekat sini sementara menunggu sebutan semula kes berkenaan.

Akhbar pada 20 Disember lalu melaporkan seorang wanita maut, manakala dua pekerja lelaki kritikal selepas ditetak oleh seorang pekerja warga Indonesia di sebuah kilang pemborong makanan sejuk beku di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini.

Suspek dikatakan bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran dengan ketiga-tiga mangsa kerana tidak berpuas hati berkaitan gaji.

Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap tidak sampai 24 jam di Petaling Jaya, Selangor selepas dipercayai cuba melarikan diri menaiki teksi. - UTUSAN ONLINE