Lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai ahli keluarga kepada ketiga-tiga mangsa yang lemas itu, hadir di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar kira-kira pukul 10 pagi sambil diiringi dua pegawai polis dalam keadaan berpakaian lokap dan bergari.

Perintah tahanan reman itu diperoleh daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian.

Semalam, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.

Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad,66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.

Berikutan itu, pasukan penyelamat mempergiatkan usaha mencari Mohd. Zali yang dikatakan bersama keluarganya itu berdasarkan kepada penemuan kad pengenalan kesemua empat individu itu di lokasi mayat pertama ditemukan.

Walau bagaimanapun kejadian itu menimbulkan misteri apabila lelaki yang disangka mati lemas bersama-sama ahli keluarganya, dijumpai masih hidup di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 10 malam. - UTUSAN ONLINE