Mohammad Fikry Mamot, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Fikry yang tidak bekerja itu didakwa menyebabkan cedera parah ke atas pembantu pemasaran, Faiz Hariz Nurhuda, 22, di tingkat 3, di hadapan Butik Adidas KLCC, Jalan Ampang, di sini pada pukul 6 pagi, 11 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada 14 November lalu, media melaporkan kejadian pada pukul 6 pagi yang menjadi tular di media sosial itu bermula apabila mangsa menegur suspek yang memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut bernilai RM1,150 di Suria KLCC.

Akibat teguran tersebut, suspek yang datang berkumpulan, berang lalu bertindak menumbuk mangsa sehingga tulang hidung mangsa patah serta lebam mata kirinya. - UTUSAN ONLINE