Noureddine Mohd. Razgali, 23, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah hotel di Taman Muda Ampang pada pukul 3 pagi dan di sebuah bilik di rumah tertuduh, Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan dekat sini antara pukul 7.05 petang dan 7.40 malam, 5 November lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembuat roti didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara Noureddine yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan atas alasan abangnya hadir untuk menjadi penjamin.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE