Muhammad Daniel Abdul Rajit, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azuar Che Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya pada 10 April tahun lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam Aedi Tajudin didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd. Rahim meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 memandangkan kes ini merupakan kesalahan tidak boleh jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 April ini sebutan semula kes dan tertuduh ditawar ikat jamin sebanyak RM5,000. - UTUSAN ONLINE