Nelson Wong, 27, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhannya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah mengurung mangsa berusia 18 tahun di sebuah premis di Jalan Perkasa 2, Taman Maluri, Cheras di sini kira-kira pukul 10.15 pagi, 23 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau jenama ‘utility’ berukuran lebih kurang 20.32 cm termasuk hulu di tempat awam di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang diwakili peguam V. Kumar memohon jaminan yang minimum terhadap anak guamnya bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE