Justin Rey, 36, berkata, melindungi keluarganya merupakan alasan dia tidak mendapatkan bantuan perubatan selepas mendakwa isterinya membunuh diri setelah melahirkan seorang anak di hotel berkenaan pada Oktober tahun lalu, lapor The Kansas City Star.

Rey kemudian ditemukan oleh penyiasat bersama bayi yang baru lahir dan anak perempuannya berusia dua tahun, bersama beberapa buah beg yang mengandungi anggota badan di sebuah stor di Lenexa, Kansas.

Lelaki terbabit tidak didakwa atas kematian isterinya tetapi berdepan dengan pertuduhan meletakkan kanak-kanak dalam keadaan berbahaya di Kansas dan Missouri serta tuduhan meninggalkan sekujur mayat di Missouri.

Dengan mengambil langkah yang jarang dilakukan, Rey telah memberi keterangan pada peringkat awal perbicaraan di Kansas, apabila peguamnya, Zane Todd menyatakan, anak guamnya itu mahu membetulkan keterangan beberapa saksi lain.

Selepas perbicaraan tersebut, Rey membuat pengakuan tidak bersalah di Johnson County, Kansas atas dua pertuduhan membahayakan kanak-kanak dan dua pertuduhan menyumbang kepada salah laku seorang kanak-kanak.

“Ada sesuatu yang saya hendak lakukan. Saya sangat menyayangi keluarga saya. Ada sesuatu yang perlu saya lakukan untuk melindungi keluarga saya,” kata Rey.

Seorang pegawai yang menemukan Rey di sebuah unit stor berkata, kanak-kanak berusia dua tahun itu kelihatan tidak sihat dan ‘kelihatan hampir seperti dia menghidap kanser’.

Bayinya pula menderita jangkitan mata yang teruk, menurut beberapa saksi. Kedua-dua beradik itu kini diletakkan di bawah tahanan pelindungan.

Rey sebelum itu berkata, isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak, tetapi penyiasat polis Lenexa, Shannon Murphy dalam keterangannya berkata, Rey memberitahunya bahawa isterinya telah membunuh diri sendiri. Selepas mengambil gambar anaknya yang diletakkan di tubuh isterinya, Rey berkata, dia ‘telah mengerat isterinya seperti seekor ikan’, kata Murphy dalam keterangannya.

Murphy berkata, anggota badan yang tidak muat dimasukkan ke dalam bekas dan dipam ke dalam tandas.

Timbalan Koroner Johnson County, Charles Glenn dalam keterangannya memberitahu bahawa ‘sejumlah’ kecederaan akibat tikaman ditemukan di beberapa bahagian badan Jessica Rey tetapi sukar untuk menyatakan sama ada kecederaan itu dilakukan sebelum atau selepas kematian wanita itu.

Rey memberitahu mahkamah bahawa dia dan anak-anaknya tidak tinggal di tempat penyimpanan barang itu, seperti yang dinyatakan oleh saksi-saksi. Sebaliknya, mereka berada di situ hanya untuk tempoh kira-kira 11 jam sementara dia membuat persediaan untuk pergi ke Arizona, kerana berhasrat mengebumikan isterinya di situ.

Dia juga berkata, anak-anaknya dijaga dengan baik.

“Saya tidak meletakkan anak-anak saya dalam keadaan berbahaya. Anak-anak saya cukup sihat,” katanya ketika memberi keterangan.

Rey juga menafikan dia telah pam apa-apa kecuali uri ke dalam tandas.

Perbicaraan terhadapnya dijadualkan bersambung pada 5 November ini. – The Mirror