Choa Seng Leong, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa telah menggunakan mata wang kertas palsu sebanyak 35 keping itu di lobi Hotel Summit, USJ di sini pada pukul 11.30 malam, 23 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V.V. Suloshani mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili Datin Raj Preet Kaur diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali manakala sebutan kes ditetapkan 11 Oktober ini.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga rakan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompak secara berkumpulan dan bersenjata terhadap seorang wanita warga emas di sebuah pasar raya, bulan lalu.

Kamarulzaman Mohd. Yusof, 31, Mohamad Faris Zahari, 26, dan Syahril Azlan Ghazali, 26, didakwa merompak menggunakan sebilah parang terhadap penjaga kaunter KK Supermart, M.V. Veeru Maha Lackmi, 64, dan merampas wang tunai berjumlah RM47.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pasaraya KK Supermart, No. 113, Jalan Gasing di sini pada pukul 3.17 pagi, 15 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua diikat jamin dan menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE