Ma'aruf Esmam, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan tangan terhadap bapa mentuanya, Husin Samad 62, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di belakang bahu kanan dan ibu jari kedua-dua belah tangan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Ayer Keroh Heights di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 30 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa cuba meleraikan pertengkaran antara tertuduh dan isterinya, yang turut dipukul dan mengalami kecederaan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dikenakan dan memohon syarat tambahan diberikan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa. 

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan yang rendah dikenakan kerana perlu menanggung seorang isteri dan empat orang anak, ibu bapa selain mempunyai hutang banyak. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan memerintahkan tertuduh agar tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mac depan. - UTUSAN ONLINE