D. Manivannan, 33, didakwa membunuh V. Kandasamy, 44, di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, Wangsa Maju di sini, kira-kira pukul 3.35 petang, 27 Julai tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya bersama-sama dua suspek yang masih bebas pada hari kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Aftal Mariz Mohamed yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Sek­syen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju T berwarna hijau itu kerana kes tersebut melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Ogos 2016, media melaporkan, mangsa yang menetap di Wangsa Maju itu mati ditembak dengan kejam selepas ter­kena 10 daripada 18 das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat oleh dua suspek terbabit di bahagian kepala, badan dan paha.

Kandasamy yang dipercayai orang kanan ahli kumpulan kongsi gelap, Geng Satu Hati telah memandu kereta jenis Honda Accord tersebut secara bersendirian sebelum memberhentikan kere­tanya di lorong kanan jalan di persimpangan lampu isyarat berse­belahan pusat beli-belah tersebut.