Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, juga merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Hakim Zaman Mohd. Noor memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 23 April lalu dan penjara sebulan jika gagal membayar denda selain memerintahkan lelaki tersebut memadam video yang telah dimuat naik di laman Youtube berkenaan. 

Tertuduh yang berasal dari Yemen itu  didakwa merakam video tersebut melalui akaun Youtube atas nama ‘salah sulaiman’ bertajuk ‘Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsy di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil’ di sekitar kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak di sini antara pukul 6.50 pagi dan 9 pagi, 21 April lalu. 

Dia yang bekerja sebagai pembersih kuda di negaranya didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Antiberita Tidak Benar (Akta 803) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh yang melawat negara ini sejak 11 April lalu tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana mempunyai tiga isteri dan enam anak serta berulang kali memohon maaf kepada mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya tidak tahu adanya undang-undang seperti ini dan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tindakan menyebarkan berita tidak benar perlu dicegah dan dihalang mengambil kira perbuatan itu menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

Mengikut fakta kes, siasatan mendapati pihak polis tiba di lokasi kejadian lebih awal daripada 50 minit dan bukannya tiba selepas lebih 50 minit kemudian seperti yang dinyatakan oleh tertuduh berdasarkan video bertajuk ‘Saksi Imam Palestin Dibunuh’ berdurasi satu minit 49 saat dengan sarikata bahasa Melayu. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang imam yang juga pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, mati ditembak di luar kondominium Idaman Puteri, Setapak semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh kira-kira 6 pagi, 21 April lalu. - UTUSAN ONLINE