V. Shashitheran, 36, dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, dia telah didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mahkamah pada 23 November 2015.

Dia selaku pihak plaintif mendakwa, telah diserang dan dipukul oleh lima banduan lain pada pukul 4 petang, 1 Dismber tahun sama ekoran tindakannya menegur mereka mencuri makanan banduan lain.

“Meskipun telah berkali-kali menjerit meminta pertolongan namun tiada siapa pun yang membantu,” katanya.

Akibatnya, pihak plaintif berkata, dia mengalami kecederaan serius, tidak berasa apa-apa di anggota badannya, tidak berupaya bercakap dan sukar bernafas.

Pihak plaintif telah dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh pada sebelah malam, 1 Disember 2015.

Lima pegawai penjara yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima ialah Cif Inspektor, Zahit Zulkifli, Sarjan Johari Ismail, Koperal Mokhtar Hamat, Koperal Narul Zaman Md. Sidek dan WP. Wan Azman Abdul Rahim.

Pengarah penjara tersebut, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan keenam hingga kesembilan.

Ekoran kecederaan yang dialami, pihak plaintif mendakwa terpaksa memakai alat penyokong leher, tidak berupaya mengawal pembuangan air kecil dan besar, hilang deria rasa pada kulit, kesihatan seksual merosot dan sering termuntah selepas makan selain gagal memastikan sama ada dia perutnya kenyang ataupun tidak.

Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan teladan serta empat perintah perisytiharan antaranya pihak defendan telah gagal memastikan keselamatan dan kebajikannya apabila menempatkannya dalam penjara melebihi kapasiti maksimum. - UTUSAN ONLINE