Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri di hadapan Majistret Nor Ahmeed Fahd Abdullah kira-kira pukul 10 pagi.

Tertuduh, Mohd. Hakim Mat Desa, 29,  bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas warga Indonesia, Zubir Engku Ibrahim @ M. Zubir pada 24 Oktober 2017.

Kesalahan dilakukan sekitar pukul 10.30 malam di kawasan cuci kereta berhampiran pintu gerbang Felda Keratong 2, Bandar Tun Razak, di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang diwakili peguam, Ahmad Deniel Roslan, mengaku faham namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menangguhkan kes untuk sebutan semula pada 8 Februari tahun depan bagi menunggu laporan forensik disiapkan.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki warga Indonesia yang ditembak menggunakan senapang patah di Felda Keratong Dua di sini, 25 Oktober lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang merupakan seorang pekerja kedai cuci kenderaan berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Suspek dipercayai  taksub dengan kisah cinta dalam sebuah novel dengan mendakwa ia berkait rapat dengan kisah hidupnya sehingga sanggup bertindak menembak suami kepada kekasihnya itu. - UTUSAN ONLINE