Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh wartawan SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN dan FARABI SAID AL JABRI serta jurugambar AMIR KHALID

 

5.03 petang:

Perbicaraan bersambung esok pukul 9 pagi.

 

4.30 petang:

Saksi memaklumkan bertemu dengan dua pegawai bank dengan salah seorangnya bernama Joanna Yu ketika melakukan serbuan di bangunan Ambank pada 6 Julai 2015.

WSJ sebelum ini pernah mendedahkan transkrip mesej didakwa antara Jho Low dan pegawai bank yang bernama Joanna Yu berhubung kemasukkan sejumlah wang yang dirahsiakan ke dalam Ambank.

Ahmad Farhan menyatakan beliau pernah bertemu Joanna sebelum serbuan iaitu sekitar bulan Mei ketika merakam keterangan wanita itu.

Malah, saksi juga menyatakan beliau tidak mengetahui sama ada wanita itu mempunyai hubungan dengan Jho Low atau tidak.

 

3.15 petang:

Perbicaraan bersambung dengan sesi pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan keempat menyatakan terdapat taklimat antara beliau dan  pengarah jabatannya dikenali sebagai Abdul Rahman Abu Bakar sebelum serbuan dilakukan.

Dalam sesi taklimat itu, Abdul Rahman memberinya senarai akaun dan mengarahkan beliau untuk membuat pemeriksaan.

Sebahagian daripada senarai akaun itu adalah milik Najib.

2.50 petang:

Saksi perbicaraan Najib

Saksi keempat pendakwaan, Pegawai Bank Negara, Ahmad Farhan Sharifudin (kiri) diiringi saksi ketiga, Pegawai Bank Negara, Mohammad Nizam Yahya (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri dan memberi keterangan perbicaraan hari keempat kes SRC International Sdn. Bhd di sini hari ini.

12.45 tengah hari:

Mahkamah berhenti rehat dan akan bersambung pada pukul 2 petang ini.

12.30 tengah hari:

Saksi sama turut memaklumkan ada menerima permohonan dari SPRM pada 30 Mei 2018 untuk kemukakan beberapa dokumen dalam simpannnya.

12.25 tengah hari:

Saksi keempat pendakwaan, Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin memaklumkan penggeledahan yang dilakukan di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan oleh pegawai BNM pada 6 Julai 2015, dibuat atas arahan Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM.

Arahan tersebut adalah supaya pihaknya menjalankan siasatan terhadap Ambank Group bagi suatu kesalahan yang disyaki di bawah Bahagian 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

12.00 tengah hari:

Saksi keempat pendakwaan, Ahmad Farhan Sharifudin dari Bank Negara Malaysia dipanggil memberi keterangan.

10.55 pagi:

Mahkamah berhenti bersidang untuk lima minit.

10.30 pagi

Azizul Adzani mengakui membuat pendapat sendiri dengan mengklasifikasikan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan selepas melihat dokumen-dokumen yang dirampas dalam serbuan di Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Saksi bagaimanapun menafikan menerima taklimat dari pihak tertentu supaya memberikan keterangan tidak benar dalam perbicaraan ini.

10.15 pagi

Pihak pendakwaan dan pembelaan sedang bertikam lidah berhubung cara pemeriksaan semula dijalankan terhadap saksi kedua pendakwaan.

Peguam bela, Harvinderjit Singh menyatakan, pihak pendakwaan tidak boleh membuat pemeriksaan semula dengan bertanyakan perkara yang tidak ditimbulkan pada soalan balas.

Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan pihak pendakwaan mempunyai cara tersendiri dalam mengendalikan pemeriksaan semula dan hanya ingin mempercepatkan proses bertanya soalan.

9.45 pagi: 

Najib tiba di mahkamah

Perbicaraan bermula dengan saksi kedua pendakwaan, Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Azizul Adzani Abdul Ghafar menyambung keterangan.

9.10 pagi:

Najib tiba di mahkamah
 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9.06 pagi ini.

8.55 pagi:

Penyokong Najib di mahkamah

Lebih 40 orang dari Wanita UMNO dari Bahagian Pekan Pahang hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi lagi bagi menyambut kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadiri perbicaraan hari keempat kes SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

8.50 pagi:

Sebuah bas dipercayai membawa penyokong Ahli Parlimen Pekan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan terkini perbicaraan dan memberi sokongan.