Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh Wartawan Utusan Online SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN dan FARABI SAID AL JABRI serta jurugambar ZAINI HUSIN dan MOHD. NAJIB MOHD. NOR.

5.40 petang:

Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 5.45 petang selepas selesai perbicaraan hari pertama berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd hari ini.

5.35 petang:

Perbicaraan tamat dan akan bersambung pada 15 April ini.

5.30 petang:

Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang bertelagah berhubung tarikh perbicaraan akan datang.

Tommy mendakwa tidak akan menjadi masalah jika Muhammad Shafee tiada sewaktu perbicaraan seterusnya kerana terdapat peguam bela lain dalam pasukan tersebut.

"Saya perlu memantau pasukan saya. Saya peguam bela utama, jeneral pada pasukan ini. Tidak boleh ada banyak jeneral dalam pasukan yang sama. Beliau (Tommy) patut tahu kerana beliau juga seorang pengamal undang-undang," kata Muhammad Shafee.

"Saya seorang pengamal undang-undang yang tidak pernah minta penangguhan!"  bentak Tommy.

5.10 petang:

Saksi pertama pendakwaan selesai memberi keterangan. 

Kini, pihak-pihak sedang mengemukakan cadangan untuk tarikh perbicaraan seterusnya.

4.40 petang:

Saksi sama turut mengesahkan SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd. berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Ketiga-tiga syarikat tersebut menjalankan jenis perniagaan berhad dengan diterajui sekurang-kurangnya dua individu sebagai pengarah.

4.30 petang:

Teriakan individu gamatkan lobi mahkamah
Teriakan individu gamatkan lobi mahkamah.

KUALA LUMPUR 3 April - Suasana tenang di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim panas seketika selepas seorang lelaki membuat laungam provokasi terhadap kerajaan dan menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lelaki yang enggan mendedahkan nama itu melaungkan 'Takbir', 'Hancur Pakatan' dan 'Hidup Melayu' selain provokasi terhadap media asing sebelum dia diarah melakukan perbuatan tersebut oleh polis yang berkawal di sini. - UTUSAN ONLINE

 

Clare Rewcastle Brown di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Clare Rewcastle Brown diserbu wartawan sejurus tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengikuti perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Clare Rewcastle hadiri perbicaraan Najib

KUALA LUMPUR 3 April - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang sebelum ini mencetuskan kontroversi hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim bagi mengikuti perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, dia tiba di sini pada pukul 2.30 petang untuk mengikuti perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu namun tidak dibenarkan masuk selepas tidak mempunyai pas media yang disediakan mahkamah.

Bagaimanapun dia terus berada disitu sebagai wartawan untuk mengambil maklumat dan data sepanjang perbicaraan tersebut berlangsung. - UTUSAN ONLINE

4.00 petang:

Petugas media asing dan tempatan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
PARA petugas media asing dan tempatan sedang mengunggu sidang akbar dijangka diadakan selepas perbicaraan hari pertama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Tazak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

3.35 petang:

Muhamad Akmaludin Abdullah dalam keterangannya memaklumkan pihaknya telah menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) untuk membuat carian rekod berkaitan tiga buah syarikat.

Syarikat berkenaan adalah SRC International Sdn. Bhd., Gandingan Mentari Sdn. Bhd. dan Ihsan Perdana Sdn. Bhd.

3.25 petang:

Pihak pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu Mohd. Akmaluddin Abdullah, 35, yang merupakan Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kekecohan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan (kanan) tidak berpuas hati apabila beberapa anggota polis tidak membenarkan beliau memasuki ruang mahkamah.

3.19 petang:

Pihak pendakwaan juga akan membuktikan wang hasil aktiviti haram yang diterima Najib telah digunakan untuk pembelian di butik mewah Chanel di Honolulu, Hawaii berjumlah AS$130,625 dan pembayaran ubah suai kediaman Najib di Langgak Duta, Pekan, Pahang dan disalurkan ke akaun parti komponen Barisan Nasional (BN)

3.07 petang:

Peguam Negara juga memberitahu bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan kes melalui bukti-bukti yang akan  dikemukakan melalui bukti terus, keterangan saksi dan  dokumen.

3.05 petang:

Peguam Negara, Tommy Thomas sedang membacakan ucapan pembukaannya.

Beliau menyatakan perbicaraan hari ini menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh melangkaui undang-undang.

Tambahnya, perbicaraan ini juga akan menjadi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan tertinggi negara.

2.50 petang:

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali akan menetapkan tarikh pendengaran berhubung notis usul tersebut kelak memandangkan ia baru difailkan hari ini dan mengarahkan perbicaraan bermula.

2.40 petang:

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram sekali lagi menegaskan bahawa permohonan yang difailkan pagi ini oleh pasukan prmbelaan Najib adalah bertujuan untuk menangguhkan perbicaraan.

Ujarnya, tuduhan yang dikenakan terhadap Najib adalah sah dan betul.

Penyokong Najib
Sebahagian penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

2.20 petang:

Bekas MP Bagan Serai diarah keluar dari mahkamah

KUALA LUMPUR 3 April - Suasana sebelum perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kecoh seketika selepas bekas ahli parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan dilarang masuk ke kamar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Difahamkam kekecohan itu berlaku selepas polis meminta Gobalakrishnan keluar dari kamar mahkamah yang ketika ini dipenuhi dengan petugas media yang mengikuti perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu.

Ekoran daripada itu, timbul rasa tidak puas hati menyebabkan berlaku perang mulut antara Gobalakrishnan dan pertugas keselamatan di situ. - UTUSAN ONLINE

2.12 petang:

Peguam bela, Tan Sri Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bahawa pihak pembelaan telah memfailkan notis usul untuk mencabar 7 pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.

Tommy bagaimanapun mendakwa tindakan tersebut tidak mempunyai niat lain selain untuk melengahkan kes. Seorang lagi peguam bela Najib, Datuk Yusof Zainal Abiden bagaimanapun menjelaskan tertuduh mempunyai hak untuk melindungi kepentingannya dalam sesuatu kes.

2.10 petang:

Prosiding mahkamah bermula. Peguam Negara, Tommy Thomas sedang memperkenalkan barisan pendakwaan dan pembelaan.

2.00 petang

Najib tiba di Mahkamah bagi kes SRC International Sdn. Bhd.
Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Najib tiba di mahkamah

KUALA LUMPUR 3 April - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di Jalan Tuanku Abdul Halim untuk perbicaraan berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan kelihatan tersenyum sambil melambai ke arah petugas media berpakaian sut biru itu tiba di lobi mahkamah pada pukul 1.50 ditemani anaknya Nor Ashman  sebelum bacaan doa dilakukan oleh seorang daripada penyokong beliau.

Beliau kemudiannya menaiki lif sebelum menuju ke tingkat 5 untuk menjalani perbicaraan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC. - UTUSAN ONLINE

 

Senarai pasukan Pendakwaan dan Pembelaan bagi perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd. 

Hakim: Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali

Pasukan Pendakwaan:
1. Peguam Negara, Tommy Thomas
2. Datuk Sulaiman Abdullah 
3. Datuk V. Sithambaran 
4. Manoj Kurup
5. Datuk Ishak Mohd. Yusoff
6. Donald Joseph Franklin
7. Datuk Suhaimi Ibrahim
8. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi
9. Sulaiman Kho Kheng Fuei
10. Budiman Lutfi Mohamed 
11. Mohd. Ashrof Adrin Kamarul
12. Muhammad Izzat Fauzan

Pasukan Pembelaan:
1. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
2. Harvinderjit Singh Muhammad Farhan
3. Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin
4. Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin
5. Farhan Read
6. Wan Aizuddin Wan Mohammed
7. Muhammad Shafee Rahmat Hazlan
8. Muhammad Farhan Shafee
9. Tiara Katrina Fuad
10. Nur Syahirah Hanapiah
11. Zahria Eleena Redza

1.50 tengah hari:

Kelihatan pihak pendakwaan  yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan pembelaan sedang bersiap sedia. Media dan orang awam juga mula memenuhi galeri awam.

Turut berada di mahkamah sekarang ialah bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin yang akan turut mewakili Datuk Seri Najib Razak bersama-sama Tan Sri Shafee Abdullah.

Mohd. Yusof adalah Timbalan Pendakwa Raya yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim. - UTUSAN ONLINE

12.50 tengah hari:

Pas media Mahkamah Kuala Lumpur
Sebahagian petugas media menunggu seawal 10 pagi untuk mendapatkan pas bagi mengikuti perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR 3 April - Para petugas media tempatan dan antarabangsa mula mendapatkan pas media untuk membuat liputan perbicaraan kes yang dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Tinggi.

Timbul rasa tidak puas hati apabila terdapat pengamal media yang cuba 'potong Q' bagi mendapatkan pas media yang terhad.

Sebanyak 100 keping pas media dengan 30 keping pas berwarna merah jambu disediakan bagi wartawan tempatan dan antarabangsa yang mengikuti prosiding di dalam mahkamah terbuka, 20 pas berwarna oren untuk prosiding di bilik tayangan video dan 50 pas berwarna biru diedarkan kepada jurufoto dan jurukamera yang ditempatkan di lobi Kompleks Mahkamah. - UTUSAN ONLINE

11.20 pagi:

Keadaan tenang dan terkawal di Kompleks Mahkamah KL

KUALA LUMPUR 3 April - Suasana di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim masih lagi dalam keadaan terkawal sebelum bermulanya perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Namun begitu para petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat tiba lebih awal kira-kira pukul 10.30 untuk mengambil tempat bagi memudahkan urusan pendaftaran walaupun perbicaraan dijangka bermula pada pukul 2 petang nanti. 

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC. - UTUSAN ONLINE

11.00 pagi:

Media bicara Najib
 

LALUAN ke pintu masuk utama sudah dipenuhi petugas media sementara menanti ketibaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, perbicaraan pula dijadualkan akan berlangsung pada petang ini.

 

10.35 pagi:

Media asing Mahkamah Kuala Lumpur
 

PETUGAS media asing mula memenuhi perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk membuat liputan perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahakamah Tinggi hari ini walaupun kes hanya akan bermula pada petang nanti.