Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh Wartawan Utusan Online SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN, FARABI SAID AL JABRI serta jurugambar FARID JANUDIN.

8.48 pagi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di Jalan Tuanku Abdul Halim untuk perbicaraan hari ketiga berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

 

10.20 pagi

Saksi kedua pendakwaan, Azizul Adzani Abdul Ghafar memberitahu selain pasukannya terdapat pasukan dari Bank Negara Malaysia yang membuat serbuan di Ambank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui arahan yang diberikan pada pasukan kedua itu.

"Saya hanya tunggu di bank berkenaan untuk pulang bersama dengan pasukan itu. Tiada arahan diberikan untuk saya tunggu," katanya.

Semalam saksi berkenaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pasukannya telah merampas lapan fail yang mana empat daripadanya milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dirampas Bank Negara Malaysia (BNM).

Baki fail dokumen berkenaan adalah melibatkan tiga fail berkaitan SRC International Sdn. Bhd. dan satu fail berkaitan Syarikat Gandingan Mentari Sdn. Bhd. 

SAKSI kedua, Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar hadir ke mahkamah untuk membe

SAKSI kedua, Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung tujuh pertuduhan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, di Kompleks Mahkamah Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/ FARID JANUDIN

 

10.30 pagi

Saksi kedua, Azizul Adzani bersetuju bahawa serbuan oleh Bank Negara Malaysia di Ambank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015 adalah satu operasi besar.

11.20 pagi

Saksi turut memaklumkan beliau tidak mendapat arahan untuk dokumen berhubung transaksi khusus di bawah nama bekas Perdana Menteri, syarikat SRC dan syarikat-syarikat lain.

Beliau hanya memaklumkan kepada pengurus cawangan untuk mendapatkan dokumen berkaitan akaun.

"Selepas Puan Uma Devi berikan dokumen diminta pada pukul 11 pagi, beliau memaklumkan ada dokumen lain," katanya.

Dokumen berhubung transaksi khusus itu kemudian diserahkan kepadanya kira-kira 10 jam selepas mereka selesai melakukan serbuan.

12.45 tengah hari

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar dari
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 12.54 tengah hari selepas mahkamah berhenti rehat pada perbicaraan yang memasuki hari ketiga melibatkan kes dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

Perbicaraan kes bersambung 2.30 petang ini.

 

5.13 petang:

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 5.13 petang selepas selesai perbicaraan hari ketiga melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

Perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu akan bersambung pagi esok.