Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh Wartawan SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN.

 

5.40 petang:

Bekas eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa jadi mangsa penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Mohd. Aizat Ibrahim, 32, hari ini memohon maaf secara peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak atas keterlanjurannya mengkritik bekas Perdana Menteri itu.

najib
 

Ujarnya, walaupun Najib telah memaafkannya namun di hatinya masih terdapat rasa bersalah dan terkilan atas perbuatannya itu.

Terdahulu, Mohd. Aizat menemui Najib selepas tamat prosiding dan memohon maaf atas perbuatannya itu.

Najib menerima permohonan maaf tersebut.

 

5.20 petang:

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.20 petang selepas perbicaraan hari keenamnya selesai.

Perbicaraan akan bersambung esok.

 

4.27 petang:

Saksi pendakwaan ke-12, Manisah Othman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau pernah menerima bantuan berupa cek berjumlah RM13,800 daripada Najib bagi membantu membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.

Bantuan itu dijanjikan oleh Najib sewaktu melawat arwah suaminya ketika menerima rawatan bagi penyakit kanser usus.

Menurut Manisah, suaminya, pernah berkhidmat dengan Najib sebagai Setiausaha Sulit sewaktu Ahli Parlimen Pekan itu menjadi Menteri Pendidikan.

 

3.16 petang:

Perbicaraan diteruskan dengan memanggil semual saksi pendakwaan keempat iaitu Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin.

Pada prosiding terdahulu, saksi tersebut telah diminta oleh barisan pembelaan untuk membawa beberapa dokumen termasuk dokumen dipercayai mengandungi rekod perbualan antara pegawai bank Ambank, Joanna Yu dengan ahli perniagaan, Jho Low.

 

3.09 petang:

Saksi pendakwaan ke-11 iaitu Trustee Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Abdul Munir Osman selesai memberi keterangan.

Saksi sebelum ini mengesahkan menerima RM400,000 daripada Najib yang juga penaung institusi itu untuk digunakan bagi tujuan perbelanjaan anak-anak yatim persekolahan dan aktiviti kokurikulum yang tinggal di Rumah Penyayang.

 

12.41 tengah hari:

Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung pada pukul 2 petang untuk pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-11 iaitu Trustee Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Abdul Munir Osman.

Saksi sebelum ini mengesahkan menerima RM400,000 daripada Najib yang juga penaung institusi itu untuk digunakan bagi tujuan perbelanjaan.

 

12.01 tengah hari:

Perbicaraan diteruskan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-10 iaitu Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru, Abu Talib Alias.

Abu Talib memaklumkan menerima cek bernilai RM300,000 atas nama UMNO Johor Bahru bagi urus tadbir Parti.

Ketika perbicaraan, saksi diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi untuk mengecam Najib di dalam mahkamah dan secara bersahaja, Abu Talib menjawab, "Ada, malu apa bossku" namun kemudian memohon maaf kepada mahkamah.

 

11.49 pagi:

Ketika pemeriksaan balas oleh Tan Sri Shafee, saksi memberitahu wang tersebut digunakan untuk program kemasyarakatan seperti membiayai kelas tambahan murid sekolah, sumbangan kepada orang sakit dan lain-lain aktiviti.

"Jumlah RM50,000 itu diputuskan sendiri oleh Datuk Seri Najib. Saya tidak menyatakan sebarang jumlah," katanya.

Saksi selesai memberi keterangan.

 

11.41 pagi:

Saksi kesembilan, Datuk Asmadi Abu Talib yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu memaklumkan menerima RM50,000 melalui cek daripada Najib.

Wang berkenaan, menurut Ketua Bahagian UMNO Bahagian Padang Serai itu adalah sumbangan bekas Pengerusi BN itu sebagai membantu bahagiannya menjalankan program parti.

"Dalam satu pertemuan dengan Datuk Seri Najib, saya ceritakan perancangan untuk parti termasuk kekangan masa, tenaga dan kewangan yang kami hadapi dalam mengadakan program.

"Cek berkenaan adalah atas nama saya dan saya masukkan ke dalam akaun saya. Namun jumlah itu saya umumkan kepada semua Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian," katanya.

 

10.44 pagi:

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi memaklumkan pembinaan dua buah tangki air dengan keseluruham berkapasiti 4,500 liter di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak yang menelan belanja RM67,000 adalah satu keperluan mendesak dan bukan kemewahan.

Ini kerana, menurut saksi, tangki air lama di kediaman rasmi Najib di Pekan, Pahang itu sudah lama dan sering rosak.

Saksi selesai memberi keterangan.

 

10.30 pagi:

Saksi yang merupakan pemilik syarikat Syadilah Enterprise memaklumkan telah dibayar RM77,300 melalui cek bagi kerja-kerja membina dua buah tangki air, selenggara pendingin hawa, pendawaian, baiki atap bocor dan menukar tombol pintu yang rosak.

Dia telah memberi tiga invois dengan setiap satu sebut harga bernilai RM67,000, RM9,540 dan RM760.

 

10.22 pagi:

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kemudian berkata laporan polis telahpun dibuat serta perkara ini masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun diingatkan sebarang bentuk rakaman. CRT diberikan kepada pasukan pendakwaan dan pembelaan adalah untuk menyediakan nota prosiding. Ia bukan untuk disiarkan atau dimuatnaik media sosial.

"Malah, masyarakat turut diingatkan untuk tidak membuat sebarang komen atau ulasan  yang boleh memprejudiskan kes," katanya.

Perbicaraan diteruskan dengan saksi pendakwaan kelapan, Daud Mohamed, 53, yang merupakan seorang kontraktor untuk memberi keterangan.

 

10.05 pagi:

Bagaimanapun, ketua pasukan pembelaan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah bahawa perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.

"Pihak kami sebelum ini telah memohon perintah larangan dan bagaimanapun pihak pendakwaan membantahnya. Sekiranya ia dibenarkan saya fikir masalah ini tidak akan timbul. Siapa yang makan cabai, dia yang rasa pedasnya.

"Rakaman prosiding ini tidak memberi kemudaratan kepada sesiapa. Ramai yang datang kepada kami dan mahukan perbicaraan ini dijalankan secara siaran langsung dan boleh ditonton oleh semua pihak," katanya.

 

9.44 pagi:

Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri bermula. Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaran membangkitkan isu berhubung penularan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di dalam sosial Facebook, Jumaat lalu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa transkripsi rakaman mahkamah (CRT) tersebut tidak wajar di muatnaik di laman sosial apatah lagi rakaman itu hanya diserahkan kepada pihak-pihak tertentu sahaja termasuk pihak pendakwaan dan pembelaan.

"Malah sebelum mendapatkan salinan rakaman ini, pihak-pihak perlu memberi akujanji untuk tidak mengedar, menyalin, dan memuatnaik rakaman itu kepada sesiapa.

"Sehubungan itu, pihak kami memohon arahan mahkamah agar mana-mana pihak tidak memuatnaik rakaman perbicaraan ini di media sosial," katanya.

 

8.53 pagi:

Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.45 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kesnya yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.