Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh Wartawan Utusan Online SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN, FARABI SAID AL JABRI serta jurugambar HAFIZ JOHARI, FARID JANUDIN.


Petugas media mula beratur bagi mendapatkan pas lipytan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.

7.50 pagi:

Para petugas media mula beratur bagi mendapatkan pas liputan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Perbicaraan yang memasuki hari kedua hari ini akan menyambung sesi soal balas terhadap saksi pertama pendakwaan, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

 


Petugas media masih berkumpul di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menantikan kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk perbicaraan hari kedua kes SRC International Sdn. Bhd.

8.30 pagi:

Suasana di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim masih lagi dalam keadaan terkawal sebelum bermulanya perbicaraan yang memasuki hari kedua kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Tinjauan Utusan Malaysua mendapati para petugas media tempatan dan antarabangsa dilihat tiba lebih awal kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil tempat bagi memudahkan urusan pendaftaran walaupun perbicaraan dijangka bermula pada pukul 9 pagi ini nanti.

Setakat ini para petugas media masih lagi berkampung di lobi mahkamah sementara menunggu ketibaan Ahli Parlimen Pekan itu.

 

8.58 pagi:

Peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim kira- kira pukul 8.50 pagi untuk perbicaraan hari kedua kes dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd.

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah. 

9.01 pagi:

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di Jalan Tuanku Abdul Halim untuk perbicaraan hari kedua berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan kelihatan tersenyum dengan mengenakan sut hitam itu tiba di lobi mahkamah pada pukul 9.01 pagi.

 

9.21 pagi:

Prosiding perbicaraan bermula

Bagaimanapun sebelum saksi pertama dipanggil, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaran memohon kepada mahkamah untuk meneliti dokumen yang dimohon oleh pihak pembelaan pada sesi terdahulu.

Beliau memohon agar dokumen tersebut ditunjukkan ke mahkamah sebelum soalan berkaitannya disoal kepada saksi.

Antara dokumen yang diminta ialah berkaitan Yayasan Rakyat 1Malaysia.

 

9.28 pagi:

Mahkamah berhenti seketika bagi memberi peluang kepada pihak-pihak terlibat untuk meneliti dokumen tambahan yang diminta untuk dikemukakan oleh saksi pertama pendakwaan, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah.

Terdahulu, peguam bela, Harvinderjit Singh turut memohon agar pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah sekiranya terdapat bantahan jika mereka ingin mengemukakan dokumen terbabit sebagai bukti pembelaan.

 

10.02 pagi:

Saksi pertama, Muhamad Akmaludin Abdullah mengesahkan saham syarikat SRC International Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 7 Januari 2011 tidak dimiliki oleh 1MDB Bhd.

 

10.14 pagi:

Saksi sama turut mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah salah seorang pengarah dalam syarikat Yayasan Rakyat 1Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan itu dilantik pada 11 Januari 2013 bersama dua lagi pengarah lain.

 

12.33 tengah hari:

Perbicaraan kes diteruskan dengan pihak pendakwaan memanggil saksi kedua iaitu Pengurus Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

 

12.43 tengah hari:

Saksi kedua itu memberitahu dia dilantik menjadi pegawai geledah pada 6 Julai 2015 dan dimaklumkan berhubung pelantikan itu oleh pegawai penyiasat Bank Negara

Beliau telah pergi ke Ambank Jalan Raja Chulan di sini untuk membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram berhubung obligasi pelaburan.

Azizul Adzani memaklumkan beliau telah pergi bersama tiga lagi pegawai dari Bank Negara.

"Kami berjumpa dengan pengurus cawangan  dan memaklumkan secara lisan  senarai akaun yang diperlukan bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia," katanya.

 

12.54 tengah hari:

Perbicaraan kes bersambung 2.30 petang.

 

12.57 tengah hari:

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 12.57 tengah hari selepas mahkamah berhenti rehat sebelum bersambung pukul 2.30 petang ini untuk perbicaraan kes melibatkan tujuh pertuduhan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada pembicaraan sesi petang.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada pembicaraan sesi petang. 

2.32 petang:

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba semula di perkarangan Kompleks Mahkamah di Jalan Tuanku Abdul Halim untuk perbicaraan sesi petang hari kedua berhubung tujuh pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. pada pukul 2.32 petang.

 

2.52 petang:

Perbicaraan kes diteruskan dengan saksi yang sama. 

Dalam keterangannya, Azizul memaklumkan semua dokumen yang dirampas diserahkan kepada pegawai penyiasat keesokan harinya iaitu pada 7 Julai 2015.

 

 

Terus ikuti perkembangan terkini dari semasa ke semasa.