Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Kamal Hisham Ja'afar berkata, laporan kewangan syarikat Southern Ads berakhir 31 Disember 2010 itu telah disahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Minit mesyuarat agung tahunan (AGM) ketujuh Southern Ads yang dipengerusikan oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 30 Jun 2011 turut mengesahkan laporan audit akaun syarikat pengiklanan itu adalah betul.

“Sekiranya Tuanku hendak menyemak semula laporan audit berkenaan pembayaran RM144,000 dan RM72,000 itu, mestilah dicatatkan dalam minit mesyuarat berkenaan,” katanya ketika pemeriksaan balas pada perbicaraan Kamal Hisham, 47, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kamal Hisham menghadapi 17 pertuduhan melibatkan pecah amanah, menerima wang daripada aktiviti haram dan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965

Pada prosiding hari ini, Asisten Superintenden, Raymond Kona dari Jabatan Siasatan Komer­sial (JSJ) Bukit Aman yang juga saksi pendakwaan ke-24 bersetuju dengan cadangan Mohd. Khairul Azam, perlunya semakan laporan kewa­ngan Southern Ads dilakukan semula dan diminitkan dalam AGM berkenaan.

Semalam, Raymond keti­ka disoal Timbalan Pendakwa Raya, Shu­kor Abu Bakar memberitahu, dua keping cek bernilai RM144,000 dan RM72,000 telah dibayar kepada Tetuan Kamal Hisham & Asso­ciates pada 18 Mei 2010 dan 10 Jun tahun yang sama.

Laporan audit syarikat peng­iklanan tersebut memaklumkan pembayaran kedua-dua cek ber­kenaan adalah sebagai kos konsultasi yang dijalankan Tetuan Kamal Hisham & Associates.

Siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dijalankan olehnya selepas menerima satu laporan polis oleh Setiausaha Southern Ads, Lilian Low berhubung pembayaran keseluruhan berjumlah RM216,00 yang didakwa dilakukan tanpa adanya dokumen sokongan yang membenarkan pembayaran tersebut dibuat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin bersambung 26 Disember ini.