Ini terbukti apabila sebanyak 16 pegawai termasuk anggota polis didakwa atas kesalahan rasuah di empat Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah, semalam. Pendakwaan itu membabitkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden, dua Asisten Superintenden serta dua Inspektor.

 

KUALA LUMPUR 9 Mac -  Seorang pegawai dan tujuh anggota polis mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa atas pelbagai tuduhan rasuah.

Di hadapan Ha­kim Allaudeen Is­­mail, Asisten Su­­perintenden Mo­hamad Zafrul Zulkifli, 37, dan Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 29, didakwa meminta rasuah RM2,000 daripada seorang warga Myanmar, Kway Phone Naing sebagai dorongan untuk melepaskan seorang wanita rakan senegaranya, Nang Cherry yang dikatakan mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu.

Kedua-duanya yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak ken­deraan belakang Hotel D’ Majestic Place, 376, Jalan Pudu di sini, di antara pukul 6 hingga 6.05 petang, 28 Januari 2016.

Kira-kira pukul 7.30 malam, pada tarikh dan tempat yang sa­ma, Lans Koperal Mohd. Saffuan Mat Salleh, 31, dan Lans Koperal Sokongan Muhammad Huzzaini Esman, 29, dari unit sama didakwa memperoleh rasuah RM1,500 daripada Phone Naing bagi tujuan yang sama.

Kesemua tertuduh dibenar­kan bebas dengan jaminan an­tara RM15,000 dan RM10,000 ma­nakala Mohamad Zafrul turut dikenakan syarat tambahan agar menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Kes itu akan disebut semula pada 12 April ini.

Sementara itu di hadapan Hakim Madihah Harullah, Koperal Abd. Rahim Yusak, 60, dan Konstabel Mohd. Hafis Hafizi Azhari, 26, dari IPD Sentul didakwa bersama-sama meminta suapan RM1,500 daripada Alif Faisal Amran di Jalan Kuching di sini pada pukul 2.10 pagi, 28 September 2013.

Rasuah itu didakwa sebagai dorongan untuk menyelesaikan saman trafik lelaki itu yang telah melakukan kesalahan memandu kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh dan tanpa perlin­dungan insurans serta upah agar tidak menahan Mohd. Hariz Zai­fan Mohd. Zanua yang tersenarai dalam Rekod Orang Yang Dikehendaki Polis.

Di tempat, masa dan tarikh sama, Abd. Rahim didakwa menerima wang tunai RM100 tanpa balasan daripada Alif Faisal dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dua hari kemudian, kira-kira pukul 10 malam di Restoran A&W Wangsa Walk, Jalan Wangsa Perdana 1 di sini, Mohd. Hafis Hafizi didakwa telah bersetuju untuk me­nerima rasuah RM500 daripada individu sama. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dan kes akan disebut semula pada 10 April ini.

Di hadapan Hakim Azura Alwi pula, Koperal Azuan Khalid, 49, dari cawangan Kereta Peronda, IPD Wangsa Maju didakwa meminta rasuah RM3,000 daripada Mohd. Shahrunizad Sahar sebagai dorongan untuk melepaskan tiga warga Indonesia yang tidak mempunyai pas lawatan berhampiran Plaza Tol Batu, KM 30, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) off Jalan Kuching, kira-kira pukul 9 pagi, 15 Disember 2015.

Kira-kira 20 minit kemudian, di tempat letak kenderaan orang kurang upaya (OKU) bersebelahan Maybank Berhad, Seksyen 5, Jalan Wangsa Delima 11 di sini, Azuan dan Koperal Zulazri Idris, 37, didakwa telah bersetuju me­nerima RM1,500 daripada individu sama dan pada 17 Di­sember 2015, Azuan didakwa mem­peroleh rasuah RM500 daripada Mohd. Shahrunizad di sebuah restoran di Wangsa Maju.

Hakim menetapkan wang ja­min bagi Azuan sebanyak RM10,000 manakala jaminan terhadap Zulazri ditetapkan sebanyak RM5,000; masing-masing dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Mac ini.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A), 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Ra­ya dari SPRM, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Abdul Rashid Sulaiman manakala kesemua tertuduh ke­cuali Abd. Rahim dan Mohd. Hafis Hafizi diwakili peguam-peguam bela, Hamidi Mohd. Noh, Zainal Omar, Mohd. Fahmi Mat Rodzi dan Mohd. Norazihan Adnan.