Kesemua tertuduh, Hanny Itam, 34, Norazizan Awang, 33; Lemay Uda Jamil, 33; Laies Pa Engah, 35; Ramlan Dollah, 23; Jassiva Pandak, 28; Azwan Alim, 27, dan Irwan Ngah, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama telah menyebabkan kematian Mohd. Azrin Mohd. Arif, 36, di Kampung Chenderung Kelubi di Tanjung Tualang antara pukul 12 hingga 3.30 pagi pada 5 April 2013.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Memetik laporan pada 6 Februari lalu, tujuh lelaki ditahan dalam tangkapan berasingan antara 29 Januari hingga 2 Februari lalu di Kampung Chenderung Kelubi di Sungai Galah, Tanjung Tualang manakala seorang anggota tentera pula diberkas di perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dua hari kemudian.

Kesemua mereka ditahan bersabit kes penemuan mayat seorang lelaki di Lombong Kapal 7, Pulau Burung Sungai Galah di Kampung Gajah, enam tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataannya berkata, mayat Mohd. Azrin ditemukan terapung oleh orang awam di kawasan lombong berkenaan pada 6 April 2013.

"Hasil pengecaman oleh bapa mangsa di Hospital Changkat Melintang mengesahkan mayat tersebut adalah anaknya," katanya.-UTUSAN ONLINE