Mohd. Nur Baderyshah Matasum, 34, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan curang telah menyalahgunakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM dan Kad Smart Pay bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422.90.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di stesen minyak Petronas Kelemak dalam daerah Alor Gajah antara 1 Mac hingga 30 September 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum lima tahun penjara dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman lebih ringan ke atasnya atas alasan perbuatan itu merupakan kesalahan pertama selain perlu menanggung seorang isteri serta lima anak berusia tiga bulan hingga sembilan tahun.

“Saya menggunakan wang itu untuk menanggung rawatan ibu yang sakit di Sarawak dan selalu berulang-alik ke Sarawak selain turut menanggung bapa yang sudah tua malah saya sendiri menghidap sakit bengkak hati dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang mengendalikan kes bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan tertuduh adalah anggota keselamatan yang seharusnya melindungi orang awam dan bukannya menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh juga adalah serius malah ia dilakukan berulang kali hingga dapat mengumpul lebih RM90,000 daripada orang awam. Saya mohon hukuman berat demi mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh,” katanya. - UTUSAN ONLINE